Pages

Monday 25 February 2013

KSIB lonjak pendidikan

KSIB lonjak pendidikan


Ka Siong (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Abd Ghafar (kanan) pada pelancaran Sarana Ibu Bapa dan Sarana Guru Peringkat Kebangsaan di KLCC, Ahad semalam. 



Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran semalam melancarkan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) untuk memastikan pendidikan negara setaraf negara maju hasil kerjasama pintar pelbagai pihak terutama ibu bapa dan pihak sekolah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata KSIB adalah gabungan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang sudah dilaksanakan di kebanyakan negara maju.


“Sekolah di negara maju turut digerakkan bersama oleh ibu bapa bagi melaksanakan setiap aktiviti di luar bilik darjah,” katanya melancarkan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Guru Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam.


Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong. Yang turut hadir sama ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud. 




Sarana Ibu bapa, seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, mengandungi empat elemen – penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak. 







Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).


Dengan asas penyediaan hasil kajian Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), ia menggerakkan ibu bapa melaksanakan aktiviti luar bilik darjah seperti menyediakan makanan untuk murid tidak bersarapan di rumah atau pengangkutan bagi mereka tidak berkemampuan.
Inisiatif itu membabitkan kepentingan dan masa depan lebih 5.4 juta murid seluruh negara dengan anggaran murid yang terbabit bagi tempoh 12 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang.

Kikis tanggapan

Muhyiddin berkata, untuk memastikan KSIB dapat digerakkan, pihak sekolah perlu menukar imej yang ia hanya kepunyaan guru dan murid manakala ibu bapa juga perlu mengikis tanggapan bahawa murid menjadi tanggungjawab sekolah semata-mata, sebaliknya sekolah perlu dilihat sebagai tempat memupuk persefahaman serta muafakat demi kepentingan murid.

Beliau berkata, PIBG sangat penting sebagai saluran pembabitan masyarakat dengan sekolah setempat serta seharusnya ia difahami semua peneraju persatuan itu bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif dan menyampaikan maklumat tepat mengenai murid kepada ibu bapa mereka di kawasan masing-masing

Katanya, kerjasama masyarakat setempat terbukti berjaya dicapai menerusi kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Limbang yang mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan amalan terbaik ‘Council of Commonwealth Education Ministers’ (CCEM).

Sumber; Berita Minggu 



0 comments:

Post a Comment

 

Pautan Pendidikan

Pautan Pendidikan

Kitalah Juara

Sistem Online KPM

Sistem Online KPM